Harga Tiket Turun
Perak mungkin turunkan harga tiket bola sepakIPOH - Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) dijangka menurunkan harga tiket untuk semua perlawanan bola sepak yang berlangsung di Stadium Perak mulai bulan depan.
Jika cadangan itu diluluskan, harga tiket tempat duduk berbumbung akan diturunkan daripada RM20 kepada RM15 manakala tempat duduk biasa turun kepada RM8 daripada RM10.
Sumber PFA memberitahu bahawa keputusan menurunkan harga tiket itu akan diputuskan pada mesyuarat PFA Jumaat ini.
"Cadangan mengenai penurunan harga tiket berkenaan telah diterima oleh PFA dan ia akan dibincang dalam mesyuarat Jumaat ini. Kita jangka cadangan itu akan diluluskan," katanya.
Menurutnya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selaku Presiden PFA ketika dimaklumkan mengenai cadangan itu telah memberi respons yang positif.
"Cadangan menurunkan harga tiket dibuat sebagai menghargai sokongan berterusan peminat pasukan Seladang kepada pasukan mereka.
"Kita sedar saingan liga musim ini tidak lagi membariskan pemain import, justeru daya tarikan mungkin merosot. Jadi ini adalah sebagai menghargai peminat terus setia ke stadium ," ujarnya.
Sumber itu juga berkata, keputusan untuk menurunkan harga tiket bertepatan dengan keadaan ekonomi semasa kerana ia dapat mengurangkan membebankan peminat.
Setiausaha PFA, Annuar Hashim ketika dihubungi mengesahkan bahawa PFA akan membuat keputusan terhadap cadangan penurunan harga tiket itu pada mesyuarat berkenaan.
"Perkara itu terdapat dalam agenda mesyuarat. Tunggulah pengumuman yang akan dibuat," jelasanya.
Annuar berkata, PFA tidak mengambil kira tentang faktor semata-mata keuntungan dalam perkara berkenaan kerana berpendapat peminat adalah lebih utama.
Harga tiket baru itu mungkin berkuatkuasa sama ada pada perlawanan menentang SDM Kepala Batas pada 31 Januari ini atau perlawanan Liga Super menentang Kelantan pada 10 Februari ini. - Bernama
0 comments:
Post a Comment