Perak 2 - 0 Pahang
Skuad seladang mempamerkan semangat juang yang tinggi apabila berjaya menjinakkan Pahang pada perlawanan ke 11, TM Liga Super 2009 di Stadium Perak dengan keputusan 2 - 0 walaupun pada suatu ketika terpaksa bermain dengan 10 orang pemain.
Permainan seimbang apabila kedua-dua pasukan sering dilihat berbalas serangan namun tiada satu pun percubaan yang mengancam antara satu sama lain. Kedatangan penonton di Stadium Perak agak baik walaupun perlawanan ini disiarkan secara langsung di RTM 1.
Musibah menimpa Perak pada minit ke 41 apabila Muhd Nazri Kamal menerima kad kuning kedua dan seterusnya dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan apabila melakukan kekasaran terhadap pemain pertahanan Pahang, Azwari Wan Nor.
Sebelum itu pada minit ke 39, Muhd Nazri Kamal telah menerima kad kuning pertama perlawanan kerana mengait kaki Azamuddin Akil diluar kawasan gol Perak. Tamat separuh masa pertama dengan keputusan semasa terikat tanpa sebarang jaringan.
Bermula separuh masa kedua, Perak membuat 2 pertukaran serentak apabila mengeluarkan Arsyah Ayob untuk S. Subramaniam serta Saufi Sa’aidi pula digantikan dengan Hafiz Abdul Rahman sebagai pemain tengah yang membantu Razali Umar.
Pasukan Pahang bermula baik apabila melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah kubu Perak namun berjaya dipatahkan dengan baik oleh barisan pertahanan tuan rumah yang diperkuatkan dengan kehadiran semula S. Subramaniam dibahagian pertahanan kanan.
Minit ke 64, hasil bola muntah dari penjaga gol Pahang yang dikuis oleh Hafiz Abdul Rahman sewaktu bergelut dengan 2 orang pemain lawan di dalam kotal penalti Pahang berjaya ditolak masuk oleh Razali Umar untuk gol pertama Perak malam itu.
Tersentak dengan gol tersebut pasukan Pahang menggandakan asakan ke kubu pasukan Perak namun nasib malang menimpa mereka apabila Perak dihadiahkan sepakan penalti setelah Razali Umar dijatuhkan oleh Hazri Rozali pada minit ke 79.
Pemain pertahanan, Mohd Nor Hazrul mudah meledakkan tendangan penalti tersebut untuk gol kedua Perak sambil pasukan pelawat juga terpaksa bermain 10 orang kerana Hazri Rozali turut dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.
Hafiz Abdul Rahman nyaris menambah gol ketiga Perak pada minit ke 90 apabila tandukannya terkena tiang gol sebelah kanan Pahang dan percubaan susulan dari Safwan Mahayuddin pula dibatalkan oleh pengadil kerana kedudukannya telah pun offside.
Perlawanan tamat selepas tambahan masa 3 minit dengan lawan seterusnya untuk pasukan Perak adalah menentang pasukan kelab bimbingan Mohd Zan Mat Aris, Plus FC pada hari Sabtu 11 April 2009 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kesebelasan Utama:
Kamarul Effandi (PG)
Chun Keng Hong (K)
Mohd Nor Hazrul
K. Puvinderan
Mohd Hafiszuan
Khalis Ibrahim (B20) - 3
Mohd Arsyah Ayob - 1
Muhd Nazri Kamal
Isma Alif
Razali Umar
Saufi Sa’aidi - 2
Pertukaran:
S. Subramaniam - 1
Hafiz Abdul Rahman - 2
Safwan Mahayuddin - 3
0 comments:
Post a Comment